Saturday, December 1, 2007

Tekanan Darah Tinggi, Paras Kolesterol dan Trigliserida Tinggi

Disiarkan dalam majalah MIDI, November 2007

SOALAN

Saya mengalami tekanan darah tinggi, paras kolesterol dan trigliserida tinggi serta darah pekat selama lapan tahun. Setelah membiasakan mengambil ubat-ubatan moden jenis perendah kolesterol, pencair darah dan perendah tekanan darah, saya jadi kurang fokus, mudah murung, kekukarangan tenaga serta saya masih juga mengalami sakit dalam dada bahagian kiri. Apakah jenis herba atau produk herba yang boleh menggantikan ubat-ubatan moden tersebut? Apakah kaitan lelemak tepu dengan peningkatan kolesterol?

JAWAPAN

Kolesterol dan trigliserida terbentuk dari acetyl coenzyme-A (acetyl-CoA). Memang benar lelemak tepu diubah kepada acetyl-CoA melibatkan proses oksidasi beta (beta oxidation) tetapi menuding pengambilan lelemak tepu sebagai punca peningkatan kolesterol adalah kurang tepat.

Menurut pakar biokimia terkenal Dr Mary Enig , LDL dan jumlah kolesterol berkurang kerana pengambilan lelemak omega-6 (canola, bunga matahari, kacang soya, jagung, safflower) menyebabkan kolesterol diperlukan untuk menstabilkan membran sel. Hasilnya, kolesterol berkurangan dalam darah lalu menurunkan paras trigliserida dan LDL.

Lelemak tepu dari minyak sawit dan minyak kelapa pula dipercayai memperkukuh struktur membran-membran, oleh itu kolesterol kurang digunakan untuk menstabilkannya. Kajian terbaru di India seperti dilaporkan pada 2004 mendapati pengambilan minyak kelapa dara menyebabkan paras LDL dan trigliserida turun serta paras HDL meningkat.

Analisa dan interpretasi terhadap pelbagai jurnal mendapati bahawa kesan lelemak tepu tidak seperti yang digembar-gembur oleh penyokong-penyokong hipotesis kolesterol. Kajian Framingham yang dijalankan selama bepuluh-puluh tahun mendapati paras kolesterol tidak berubah kerana pengambilan pelbagai jenis lelemak.

Dari perspektif biokimia, paras kolesterol meningkat dengan peningkatan umur pada usia tua adalah sesuatu yang semulajadi. Hasil kajian terkini dilaporkan oleh British Medical Journal menunjukkan paras kolesterol rendah boleh menyebabkan kanser (pada pandangan saintis-saintis dan pengamal perubatan holistik paras di bawah 5.2 mmol/L adalah rendah). Paras kolesterol dan lelemak baik seperti lelemak tepu dan DHA (omega-3, poli tak tepu) yang rendah menjadi punca pelbagai keadaan kesihatan negatif termasuk kemurungan.

Sebuah analisa dijalankan oleh Ridker et al. seperti dilaporkan dalam New England Journal of Medicine 2002 mendapati hampir 50% individu mengalami serangan jantung mempunyai paras kolesterol-LDL normal. Oleh itu terdapat pelbagai faktor lain menjadi faktor penyakit kardiovaskular.

Kesakitan dada kiri yang puan alami boleh berpunca dari pelbagai faktor termasuk jenis makanan dan stres yang menyebabkan darah menjadi pekat atau pembiakan virus/bakteria serta radikal bebas - arteri jantung mengalami keradangan dan mengecut.

Gaya hidup

  • Ambil sayur-sayuran dan buah-buahan dari pelbagai jenis. Sumber serat serta carotenoids dan bioflavonoids sebagai antioksidan.
  • Kurang/elakkan makanan bergoreng terendam lama seperti ayam dan pisang goreng – mengandungi polycyclic aromatic hydrocarbons: punca radikal bebas dan punca aterosklerosis.
  • Gunakan minyak sawit untuk memasak. Kaya dengan vitamin E dan carotenoids.
  • Kurangkan pengambilan perangsang metabolik seperti gula, kopi dan teh pekat. Paras gula tinggi meningkatkan radikal bebas dan homocysteine.
  • Minum air kosong/galian antara 6-8 gelas sehari.
  • Gantikan garam biasa dengan garam bukit/gunung Himalaya
  • Isi masa lapang dengan mendalami pelajaran ugama, beribadah, membaca Quran, Ayat-ayat Quran didapati menenangkan otak, merendahkan tekanan darah.

Herba

  • Gabungan 2 sudu besar minyak zaitun (extra virgin) dan 1 sudu besar cuka epal dengan ½ cawan air galian, 3 x sehari. Menstabilkan paras kolesterol dan trigliserida, melancar dan menguatkankan fungsi hati, mengurangkan tekanan darah dan mencairkan darah, dan sebagai antioksidan.
  • 1 cawan teh 1 sudu besar pegaga dengan ½ sudu teh kunyit atau temu lawak, 3 X sehari. Bantu rehatkan otak/saraf dan rendahkan tekanan darah, sebagai antioksidan.

Suplemen

  • Coenzyme Q10, 50-100 mg sehari. Bantu sel-sel tubuh dan jantung menjana tenaga.
  • Minyak hati ikan kod – sumber omega-3 paling sesuai untuk pemuliharaan semua jenis sel dan sebagai anti-keradangan, bantu memfokus

Herbalis Bahrain MH

1 comment:

Hati Riang said...

Salam,
Saya mengalami tekanan 210/135. bagaimana saya dapat mengatasi. makanan saya memang kurang garam dan lemak. saya tidak merokok. cuma saya kurang bersenam sahaja. sedangkan kawan kawan saya makan tanpa kawalan tetapi tidak mengalami HBP pun. utk pgthn tuan, ibu bapa saya mengalami tekanan darah rendah. Terima kasih